1. Ahmad sedari kecil memang meminati binatang. Sebenarnya perangai yang dipupuk oleh ayahnya, agar dapat menghargai kehidupan selain dari manusia. Sebagai hadiah di satu harijadi, ayahnya membelikan sebuah telap kecil (aquarium) dengan beberapa ekor ikan yang cantik. Setelah dia baliq, ayahnya tidak membersihkan telap ikannya, seperti yang selalu dilakukannya sebelum itu. Dia ingin melihat bagaimana anaknya bertindakbalas kepada keadaan telap yang semakin keruh airnya.
2. Demi ingin melihat ikannya berada di dalam keadaan cerah, Ahmad membawa telapnya ke belakang rumah, seperti yang biasa melihat ayahnya lakukan. Air takungan hujan yang jernih memang tersedia unutk menukar airnya. Malangnya Ahmad kurang teliti semasa memerhatikan bagaimana ayahnya membersihkan telapnya. Lalu mengambil jalan pintas, dia mencedok air dalam telap dan memasukkan air baru ke dalamnya. Setelah beberapa kali diulangi, dia meletakkan telapnya kembali ke biliknya. “Kenapa tak jernih airnya, Mat?” tanya ayahnya.
3. Proses membersihkan hati, yang menjadi raja anggota manusia, mempunyai persamaan dengan penukaran air telap si Ahmad tadi. Bhg12 Per 2 & 4 menyentuh tentang hati, yang sebenarnya terletak pada otak emotional (sebelah lagi otak rational – akal). Mendapatkan hati yang jernih (yang kemudiannya terpancar pada anggota lain) tidak akan sempurna tanpa membuang segala yang keruh (mazmumah). Dengan menambah yang jernih (mahmudah) kepada yang keruh, kedalam bekas yang sama, tidak akan menghasilkan kesan yang dikehendaki.
Peta
4. Pemikiran yang telah dihantui oleh kongkongan budaya lapuk juga, melalui proses yang sama. Untuk terbuka kepada ilham-ilham terbaru bersifat saintifik, pemikiran-pemikiran lama (negatif), yang diwarisi secara sedar atau tidak sedar, perlu dihilangkan sepenuhnya, sebelum yang baru dapat memberikan kesan positif kepada pemikiran. Mengambil jalan pintas seperti si Ahmad tadi, tidak menghasilkan kejernihan dalam membudaya pemikiran baru di dalam akal. Sebenarnya, ilham-idea-meme sentiasa dipancar oleh Allah kepada mahlukNya. Tetapi kita nampak perbezaan ketara antara muslim dan bukan muslim, dalam mencipta konsep-konsep baru, terutama dalam bidang sains.
5. Pembelajaran manusia dipengaruhi tiga elemen utama, perwarisan (genetik), persekitaran dan jatidiri (hati tadi sangat mempengaruhi). Kita mungkin mengatakan tidak dapat mengawal sepenuhnya perwarisan (termasuk original sins) yang mewakili 1/3 dari pembelajaran, tetapi kita masih mempunyai 2/3 sebagai sesuatu yang berada di bawah kawalan kita, yang boleh dikosongkan dari isi yang lama dan mengambil isi yang baru. Tajdid. Pembaruan, Renassance. Untuk membolehkan ilham-ilham baru menalukki pembelajaran kita. Sebelum “khatamal Llah hu ‘ala qulub bi him” (Allah menutup hati-hati mereka-kita).
6. Dari hasil yang kita lihat sekarang di dunia modern ini, kita tidak dapat tidak terpaksa mengakui terdapat carakerja yang tidak kena pada muslim sehinggakan menghasil keadaan muslim yang ada sekarang ini. Carakerja mencapai tujuan (ibadah), yang tidak tepat, semestinya mengikut Qada’ dan Qadar Allah, tidak akan menghasilkan hasil yang kita idam-idamkan. Memang ramai yang memegang teguh kepada ayat “kehidupan akhirat itu lebih baik dari kehidupan dunia” (ad Duha), tetapi perlu juga kita mengimbanginya dengan ayat “janganlah kamu melupakan baahagian kamu di dunia” kerana “Allah tidak akan mengubah nasib (bahagian) sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah pendirian diri mereka sendiri”.
Peta
7. Begitu juga pendapat yang dikemukakan oleh ahli sufi, tajjali (penjelmaan kejernihan) tidak akan menjelma, tanpa proses takhalli (buang yang keruh) dan kemudian tahalli (ambil yang jernih). Dengan menambah mahmudah pada mazmudah yang tidak dibuang sepenuhnya, tidak akan menghasilkan hati yang boleh memerintah kebenaran. Kegelapan (opaque) yang dicampur dengan ketelusan (transparent) akan menghasilkan kesamaran (translucent). Hanya kegelapan, malah kesamaran yang dibuang sepenuhnya, sebelum dimasukkan (dicampurkan) ketelusan, baru akan menghasilkan ketelusan.
8. Maka kejahilan yang dicampurkan dengan persangkaan (syak, zan dan waham – szw) tidak akan mengahsilkan keilmuan. Peribadatan yang tidak hadir keilmuan bersamanya, hanya menjadi pekerjaan. Jadi seperti cerita si abid yang ‘beribadah’ bersungguh-sungguh dikacau oleh syaitan, sedangkan si ‘alim yang sedang tidur dibiarkan lena. Ini kerana roh kecil si alim, yang keluar semasa jasadnya tidur, sudah dilatih untuk mencari makanan (fikir dan zikir) walaupun semasa meninggalkan kenderaannya bersendirian.
9. P Ramlee juga mengingatkan kita di dalam lagunya ‘buang yang keruh ambil yang jernih’ dan bukan ‘campur yang jernih pada yang keruh’. Marilah kita benar-benar membuang swz pada ilmu yang mengkaji carakerja Allah, agar kita akan mendapat keizinanNya setiap masa di dunia, yang menjadi kayu pengukur kedudukan kita di sisi Allah semasa di dunia, yang akan menentukan kedudukan kita di hari akhirat. Insyaallah.
10. 93:1-5 Demi waktu Dhuha;Dan malam apabila ia sunyi-sepi; (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati).
Allahu ‘alam