Salam sains,
1. Setelah lebih 2 bulan menggunakan nama Shahru Ad-Din, yang asalnya ialah Sharudin, kini saya tukar nama blog ini kepada terjemaah Melayunya, Bulan Agama. Begitu juga dengan motto utamanya bertukar dari ‘mengkaji’ kepada ‘falsafah’. Carakerja Haliq akan terus menjadi paksi apa yang menjadi berbahasan. Perkataan falsafah ini sebenarnya menakutkan ramai pembaca, kerana umumnya ramai yang tidak mengiktiraf falsafah sebagai cara beragama yang sebenar. Perkataan mengkaji lebih kepada apa yang dilaksanakan oleh saintis-saintis yang bertungkus lumus membuat kajian kepada sains.
2. Apa yang saya paparkan memang bukan hasil kajian kepada carakerja Haliq atau Sunnah Allah atau Ilmu Sains, tetapi merupakan kefahaman tentang apa itu hasil carakerja Haliq atau sains. Ilmu sains itu sendiri masih menjadi fokus, tetapi yang akan di sentuh adalah kaitan antara ilmu sains dan ilmu agama, yang menjadi teras perbahasan. Pengkajian sains sendiri banyak diceritakan di laman lain, dan ia menjadi sokongan kepada apa yang disentuh di halaman saya ini. Sebenarnya Islam sebagai ‘cara menjalankan kehidupan’ tidak menganak-tirikan ilmu sains, tetapi kerana ramainya Muslim yang tidak mahu memahami Islam secara menyeluruh, membuatkan ilmu sains dan agama menjadi terpisah.
3. Islam adalah budaya hidup sejak azali lagi, bermula dari berlakunya Ledakan Besar (Big Bang) yang dianggarkan tidak kurang dari 15 billion tahun dahulu. Pembentukan alam, yang pada mulanya difokuskan kepada pembenaan infrastruktur seperti planet, bintang dan ruang untuk membolehkan kehidupan, kemudiannya membentuk sistem galaksi yang mengandungi Matahari dan Bumi. Bumi yang dianggarkan berumur 5 billion tahun ini, kemudiannya memungkinkan kehidupan berlaku, dengan Nabi Adam, sebagai manusia pertama mendudukinya. Sebagaimana diterangkan oleh Al Quran, kesemua kehidupan berasal dari satu dan kemudian menjadi banyak dengan kepelbagaian yang tidak terkira ragamnya.
4. Dari Ledakan Besar sehingglah pandainya Nabi Adam, alam ini semuanya di dalam keadaan Islam. Segalanya bertasbih memuji Allah, Pembentuknya. Segala kebolehan yang ada pada mahluk sebelum Nabi Adam, juga mempunyai ilmu di tahap minima, yang dibekalkan Allah, membolehkan mereka mengikut aturcara atau program Allah. Hanya selepas pemberian akal sepenuhnya kepada Nabi Adam, barulah segala pilihan yang di buat oleh mahluk bernama manusia dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Maka dengan adanya akal, manusia dapat membuat pilihan yang jauh lebih banyak berbanding mahluk lain, yang juga boleh membuat pilihan tetapi sangat terbatas. Pandainya binatang mencari makanan untuk meneruskan kehidupan, adalah tanda mereka juga mempunyai pilihan. Masakan lembu tahu memilih rumput yang terbaik untuknya, tanpa pengetahuan.
5. Teori Evolusi menerangkan apa sebenarnya berlaku semasa pembentukan kehidupan, selepas infrastruktur asas diadakan, yang dihurai di dalam Teori Big Bang. Al Quran menerangkan lagi bahawa segala kehidupan bermula dari air, disokong dengan penemuan sains yang membuktikan kebenarannya. Penggunaan akal yang diberikan Allah pada tahap yang maksima, akan membolehkan kita memahami penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli sains berhubung pembentukan alam, yang merangkumi semua mahluk terutamanya manusia. Yang malang bagi Muslim adalah terlalu ramai yang tidak mahu memikirkan tentang kesan hasil kerja Allah, sebagai bukti kepada kekuasaan Allah, sepertimana diterangkan di alam Al Quran.
6. Saya akan cuba sedaya mungkin untuk menyurat kefahaman saya, tentang carkerja Haliq dari pengkajian dan pemerhatian yang telah dibuat sepanjang hidup saya. Sebagai seorang manusia yang ingin mengenali diri dan Penciptanya, saya telah menghabis masa yang banyak berfikir dan menghubung-kait segala kejadian alam dan ilmu yang telah saya pelajar dari pelbagai sumber, ke arah mencari kebenaran apa yang dipanggil sebagai agama atau cara hidup. Oleh kerana Islam itu adalah cara menjalankan kehidupan, maka ruang lingkup pencapaiannya sangat luas, tidak seperti yang terbatas sekarang ini kepada hal-hal tertentu sahaja, sebagaimana pendapat yang popular. Malangnya terlalu ramai Muslim memilih cara yang tidak meluaskan pemikiraan dengan harapan untuk mendapat ketenangan dalam kehidupan. Atau terlalu ramai yang hanya mahu bergantung kepada dahan yang rapuh.
7. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengunjung dan pembaca, yang telah dan akan terus melawat halaman saya ini. Semoga dengan izin Allah, kita sama-sama akan mendapat manfaat dari penulisan ini dan dapat menghargi segala kenikmatan yang diberikan Allah secara percuma ini. Maha Pengasih dan Penyayangnya Pencipta, Dia telah memberikan sepenuh HakmilikNya untuk dijadikan hakguna kepada mahluk, samada kita sedari atau tidak. Hanya dengan memahami carakerjaNya, kita akan dapat mengenali Allah dengan berkesan dan tiada keraguan. Kepercayaan semata-mata tidak dapat memberikan keyakinan yang sebenar. Kita mungin yakin telah berpaut di dahan, tetapi tidak dapat memastikan bila dahan yang rapuh itu akan patah?
Dikirim oleh Pak Din 31