#7 Pak Din Says:
December 19th, 2007 at 3:41 pm →
Salam Khaldun
1. Satu program yang baik dan harus diteruskan walaupun perlu beberapa pembaikan. Dari sambutan yang dijangkakan hanya sekitar 25 orang, akhirnya yang datang 3 kali ganda. Terima kasih pada Saifulislam.com khasnya dan kesemua AJK penganjur yang telah merancang dan mengendalikan program seumpama itu. Seperti yang ditekankan oleh En Wan, ia bukan inter religion dialogue, tetapi sebagai wadah mencari kesepakatan bersama berbincang hal menjalankan aktiviti kemanusiaan bersama antara agama. En Wan juga mencadangkan penubuhan sayap temptan pertubuhan tersebut, dan saya kira penyelarasan idea dari pehak Islam boleh dilakukan dengan lebih berkesan lagi.
2. Beberapa pekara penting yang perlu dilanjutkan perbincangan ialah isu sekular, common sense, akhlak dan keadilan, selain dari isu asas paling utama pendidikan. Pendidikan kepada masyarakat, samada generasi muda ataupun tua, secara menyeluruh, merangkumi segala aspek kehidupan, sudah pasti akan menjadikan masyarakat dapat meningkatkan kepekaan akal atau intelek dan seterusnya berfikiran terbuka menerima sesuatu yang baru. Benih percaya dalam agama, seterusnya memerlukan pembuktian, melalui proses berfikiran kritikal, bagi meningkatkan lagi mutu kepercayaan yang ada dalam beragama.
3. Walaupun tidak disebut di dalam majlis, kaitan antara common sense dan berfikiran kritikal mempunyai landasan mula yang sama. Begitu juga displin ilmu sains dan falsafah, yang pada mulanya tercetus kerana keinginan mendapatkan penjelasan kepada setiap sesuatu yang berlaku, samada peristiwa-peristiwa alam semulajadi dan juga peristiwa pelakuan manusia. Selaras perkembangan tamadun manusia, pembuktian berkembang dengan lebih jitu dengan adanya displin ilmu sains, yang dapat diterima oleh semua agama dan tamadun. Kehidupan sekarang tidak dapat lari dari pencapaian sains dan teknologi. Semua tamadun mendapat keselesaan, malah kemewahan melalui kemajuan sains.
4. Sekular asasnya ialah pemisahan percaya dan fikir. Beragama memerlukan lebih kepercayaan bagi memudahkan penyebarannya. Sementara berfikir lebih kepada proses pembuktian apa yang dipercayai. Pada satu tahap percaya dan fikir, terpaksa dipisah, dan apabila ini timbul maka belakulah pemisahan agama dan urusan harian, terutamanya politik. Dengan sebab itu banyak negara mengamalkan sekular dalam ertikata cuba memisahkan mereka yang mahu menggunakan fikir sebagai alat utama pembuktian, berbanding dengan mereka yang terus mahu hanya dengan percaya semata-mata (atau dengan pemikiran yang terhad).
5. Akhlak lahir dari semua sistem beragama. Nilai murni, sayang menyayang antara manusia merupakan hasil utama dari berpegang teguh kepada kepercayaan. Kebanyakan agama bertujuan menanam benih akhlak kepada penganutnya. Hanya apabila penganut agama terus berpegang kepada kepercayaan semata-mata, termasuk taksub kepada ketua, tanpa mahu berfikiran kritikal, ahlak yang mulia menjadi alat untuk digunakan oleh ketua bagi kepentingan kumpulan atau yang lebih malang untuk kepentingan diri ketua sendiri.
6. Keadilan perlu dilihat dengan makna meletakan sesuatu pada tempatnya. DEB yang dikatakan memihak satu kaum, adalah bukan asasnya perkauman. DEB cuba menyelaras diperingkat makro 4 kaum utama di negara kita dari segi ekonomi. Ia bukan sesuatu yang diukur dengan jangkamasa, contoh 1990, tetapi lebih kepada kesimbangan penglibatan bidang asas kehidupan iaitu ekonomi. DEB mensasarkan matlamat 30% bagi Bumiputra, dan selagi penglibatan itu tidak tercapai, disebabkan apa sekalipun, dasar kesimbangan perlu diteruskan. Ia lebih adil diteruskan dari dicadangkan untuk dibubarkan, kerana dengan tiadanya dasar tersebut kesimbangan penglibatan ekonomi semua kaum tidak dapat dicapai.
7. Masih banyak pehak yang perlu terlibat, dari pehak kerajaan dan juga pembangkang, bagi memastikan keberkesanan dialog seterusnya. Kita tidak dapat membuat perancangan berkesan tanpa data-data menyeluruh. Kita juga tidak dapat meneruskan perbincangan yang berkesan sekiranya tidak dapat menumpukan kepada cara fikir yang lebih kritikal. Bukan sahaja perbezaan timbul diantara agama berbeza, malah di dalam setiap agama juga terdapat perbezaan yang banyak, selalunya kerana perbezaan penggunaan berfikiran kritikal. Saya tidak mengesyurkan fikir tanpa percaya, kerana memilih itu akhirnya menyebabkan kita kehilangan tuhan, seperti atheist.
Dikirim oleh Pak Din 31