S019 Hasil 44 hari di AAN #1.

Julai 18, 2008

1. Setelah 44 hari bersama warga AAN saya semakin faham dengan bentuk perbalahan Muslim yang berumur berabad ini. Kalau nak dikatakan masaalah USUL dan FURU’, pun susah juga, kerana tasawwur tentang keduanya berbeza. Pandangan dari Orang Agama dan Orang Beragama adalah bebeza. Bagaimanapun kredit sepatutnya diberikan kepada tuanpunya forum Ust Zain kerana berkerja keras menyediakan wadah perbincangan terbuka dan mengambil tindakan yang berani memastikan terbukanya forum tersebut. Bukan mudah untuk terus mengendalikannya secara sendirian, bagaimana terasa pedihnya hati selama 44 hari mengeluarkan 999 komen di AAN. Saya sempat meneliti beberapa isu berkaitan forum di AAN dan disenaraikan berikut.

2. Dari Blog Saifulislam.com

Hati budi penulis, dinilai pada penulisannya. Dan biar pun sheikh zain-ys tidak pernah saya temui di alam nyata, hasil penulisan dan gaya bahasanya, meletakkan beliau di barisan insan yang saya hormati, kerana komitmen beliau kepada kesederhanaan. Suatu sikap yang semakin terhakis dari kemunculan pengunjung generasi baru di halaman web al-ahkam.net itu.

Masih terkenang, lama dulu, saya sedikit berselisih faham dengan sheikh THTL di dalam diskusi kami. Sheikh zain-ys menghantar email kepada saya meminta agar saya tidak ambil hati dan Alhamdulillah… biar pun mungkin angin saya dan sheikh THTL (juga tidak pernah saya temui di alam offline) selalu berlainan tiupan, diskusi kami menjadi lebih sejahtera. Pelayaran di al-ahkam.net diteruskan.

3. Dari Blog Sdr Kamin, Tuesday, December 04, 2007

al-Qaradhawi : Siapa kata Assyaerah sesat?

Aqidah Assyaerah dikaitkan pengasasnya Abu Hasan Assya’ri, yang sebelum itu berpegang kepada aqidah Muktazilah, dan selepasnya mengikut fahaman Ahli Sunnah wa al-Jamaah pada peringkat akhir hidupnya, sebagaimana didapati didalam salah satu buku terakhirnya al-Ibanah. Ia diasaskan dengan kaedah beriman dengan Sifat Allah yang sesuai dengan dirinya, takwil maknanya, dan melarang sesuatu menyerupainya. Aqidah ini diterima ramai dikalangan orang Islam.

Perselisihan yang timbul adalah berkenaan dengan mengtakwil sifat-sifat Allah swt, Dikaitkan perselisihan diantara Aqidah Salaf dan Aqidah Khalaf. Apakah mereka ini sesat atau kafir? Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa :- walaupun saya cenderung kepada pandangan salaf mengenai isu sifat, tetapi saya tidak mengkafir, menyesatkDDan dan menganggap kaum Khalaf sebagai berdosa kerana melakukan takwil. Sesungguhnya khilaf itu berpunca didalam isu bahasa arab dan memahami nas-nas Quran dan Sunnah.

4. Dari Blog Saifulislam

Jika kita mempelajari Fiqh, kita harus terlebih dahulu membiasakan diri dengan kaedah-kaedah yang membentuk Fiqh itu sendiri. Fiqh tidak boleh difahami hanya dengan menghafal hukum A, B dan C. Fiqh tidak boleh difahami tanpa terlebih dahulu mempelajari Usul Fiqh iaitu ilmu yang mengajar bagaimana isu A hukumnya menjadi A, dan isu B hukumnya B.
Maka begitu jugalah dengan Sejarah. Jika sesiapa cuba mendekati sejarah hanya dengan membaca peristiwa, tanpa jelas kepada dirinya bagaimana peristiwa itu direkod dan kemudian bagaimana ia patut ditafsir… sejarah akan menjadi beku dan jumud… membosankan dan membuang usia. Untuk itu, kita perlu kepada Usul al-Tarikh, atau kadang-kadang disebut juga sebagai Fiqh al-Tarikh. Di IIUM, ia dimasukkan sebagai topik di bawah subjek Research Methodology.

5. Dari Blog Dr Danial

Ilmu merupakan pintu gerbang kepada segala kebaikan. Dalam konteks ini al-Quran menekankan tentang kepentingan menguasai dua ayat. Penguasaan dua ayat bermaksud menguasai, pertamanya, ayat-ayat al-Quran dan, keduanya, ayat-ayat Allah yang tersembunyi di alam semesta. Ayat dalam bahasa Arab mempunyai dua maksud, seperti yang disebutkan dalam Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic. Pertama, ia bermaksud “verses of the Quran” atau ayat-ayat Quran, dan kedua, ia bermaksud “sign” atau tanda dan bukti.

Penguasaan ayat-ayat al-Quran adalah penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat. Melalui al-Quran manusia mengenali tujuan hidup dan cara hidup. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 89, “Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim.”

6. Dari Blog Abu Umair, Hadis Atau Feqah?, Posted on July 14, 2008 by abuumair

Mungkin kita pernah mendengar orang membuat perbandingan antara ilmu hadis dan ilmu feqah, mana satu yang patut dipelajari. Ada yang mengutamakan hadis semata-mata, dan ada juga yang mengutamakan feqah semata-mata. Tidak kurang juga yang memilih salah satu daripada keduanya, sambil memperlekehkan yang lain.

Bagi seorang penuntut ilmu, perbandingan seumpama ini tidak menguntungkan. Yang sepatutnya dilakukan ialah cuba menguasai kedua-dua jenis ilmu ini; hadis dan feqah. Inilah yang dituntut oleh syarak dan memberi faedah kepada perjalanan akademiknya.

Imam Syafie (wafat: 204H) telah memberi wasiat tentang kepentingan dua ilmu ini dalam satu bait syairnya:

Segala ilmu selain Al-Quran adalah batil,
Kecuali hadis dan feqah dalam agama.

Ilmu hadis adalah petunjuk dan dalil, manakala ilmu feqah pula adalah natijah kefahaman daripada hadis. Apakah ertinya seseorang yang tenggelam dalam ilmu hadis dengan segala macam cabang-cabangnya, mempelajari mustalahnya, jalur-jalur hadisnya, perawi-perawinya, tetapi tidak memahami makna hadis, permasalahan-permasalahannya dan istinbat feqah daripadanya.
Dan apakah ertinya seseorang yang menguasai ilmu feqah dengan segala masalah-masalah furuknya, tetapi tidak tahu tentang dalil-dalinya, dan tidak pasti adakah pendapat yang dipegangnya disokong oleh hujah atau tidak.

7. Komen saya di Blog Sdr Mukhtar berhubung Salaffossoleh.

Persoalan yang perlu disampaikan kepada Muslim sekarang bukan sahaja perlu berkisar kepada kebanggaan menjadi Muslim atau mengambil kalangan ahli masyarakat yang hidup di zaman Salafi sebagai idola, tetapi perlu menjangkau lebih sedikit kepada isu-isu semasa zaman Salafi dan zaman ini.

Kalau Salafi zaman Nabi boleh menyediakan tapak penakhlukan dunia ketika itu, dengan senjata tercanggihnya ialah pedang dan kuda, kita jangan terbawa semangat berpedang dan berkuda, mengikut apa yang dikatakan sebagai Sunnah Nabi SAW. Keadaan semasa itu adalah pedang dan kuda.

Menjadikan Salafi idola sebagai contoh perlu kepada melihat yang tersirat bukan yang tersurat. Yang tersurat ialah pedang dan kuda, yang tersirat ialah kemenangan Muslim mengatasi kekuatan Kafir. Sekarang ini kalau Muslim mahu mengidolakan Salafi, jangan di atas dasar mengenepikan ilmu sains dan teknologi.

Saya sebut ini kerana, memang itu yang berlaku. Apabila membaca Al-Quran (AQ) Muslim hanya membaca yang tersurat dan meninggalkan yang tersirat, maka di dalam kehidupan seharian pun terbawa-bawa sikap tersebut. Sentiasa tidak mahu memahamai apa yang tersirat di dalam surat. Sentiasa mahu mengambil Salafi sebagai idola tetapi kurang memikirkan apa yang tersirat di sebalik kemajuan golongan Salafi terdahulu.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.