R79 Saifulislam.com: Belajar Befikir

Ogos 15, 2008

Komen kepada artikel di Saifulislam “Belajar Berfikir”

Salam fikir,

1. Terima kasih Ustaz kerana mengatakan, “Lalu agama dibentangkan secara yang sungguh tidak masuk akal, demi memenangkan teks yang tidak diprosesnya melalui disiplin fikir.” Manhaj yang mementingkan teks dari konteks. Mementingkan tersurat dari tersirat, dan sebagainya. Inilah yang telah menyebabkan Muslim tidak dapat lagi menandangi kemajuan yang dicapai oleh bukan Islam. Janganlah kita berharap hanya kepada kejayaan di Akhirat sahaja tanpa mahu mengambilkira bahawa kejayaan di Dunia banyak mempengaruhi kejayaan di Akhirat. Allah berikan kita, sebagai roh, jasad di Dunia untuk menjalani ujian yang akan menentukan kedudukan di Akhirat. Maka keizinan Allah untuk kita melaksanakan sesuatu di Dunia akan mengukur keredoanNya di Akhirat, sudah pasti dengan cara mengikut piawaian Islam sebenar, yang sentiasa mengajak kita untuk berfikir dan mengkaji segala kejadian ciptaan Allah di Alam ini.

2. Terima kasih juga ke atas sedikit penjelasan tentang “Kalimah ayyaam boleh diertikan sebagai peringkat atau marhalah… justeru keterangan al-Quran tentang cara Allah mencipta bumi, … “ yang sangat membantu menyokong artikel saya bertajuk Bhg 6, Fi Sitat …. Artikel itu dipaparkan. juga untuk memulakan proses pemikiran bagi mencari penjelasan terbaik tentang kejadian Alam dari mula, sehinggalah kepada puncak penciptaan iaitu manusia, dengan hadirnya Nabi Adam as sebagai manusia pertama. Keseluruhan sejarah kehidupan bermula dengan Big Bang dan kemudian memungkinkan berlakunya evolusi ke arah penciptaan terbaik. Kesemua ini adalah selaras dengan apa yang disebut di dalam Al Quran bahawa segalanya dahulu satu dan Allah telah pisahkan kemudian. Tanpa pemikiran yang kritikal tidak mungkin kita dapat memahami ayat AQ yang berkenaan.

3. Terima kasih Sdr Saifuddin, yang mempunyai jangkauan minda yang jauh. Seorang pelajar yang berpotensi menjadi pemikir yang sangat baik. Ketidak-pastian yang dinyatakan di Komen #3 itu adalah sesuatu yang biasa bagi kita sebagai mahluk, kerana akhirnya hanya Allah yang tahu segala-galanya. Tetapi Sdr Saifuddin terus memberikan pendapat walaupun di dalam keadaan kesamaran dan ragu-ragu. Kehidupan kita adalah di dalam dynamic equilibrium, iaitu mengimbangi dua pekara. Pada asasnya mengimbangi element baik dan buruk (roh dan nafsu) dan dalam isu ini mengimbangi haq dan yang belum haq. Keseluruhan pembelajaran ilmu sains, sebagai ilmu mengkaji carakerja Allah, adalah berdasarkan kepada pembuktian keraguan. Membuktikan sesuatu yang samar dengan melihat kepada Alam untuk membuktikan kesahihannya.

4. Memang ramai Muslim yang lebih suka bersikap tunggu dan lihat. Bila kajian sains sudah dikeluarkan, merekalah yang akan menjadi orang pertama mengatakan “Kan AQ dah kata begitu!”. Maka sikap ini sebenarnya ialah sikap malas berfikir yang telah sangat sebati dengan Muslim akhir-akhir ini. Sejak zaman kegemilangan Sains Islam terpadam sekitar 700 tahu selepas kelahiran Nabi saw, proses berfikir ini telah diambilalih oleh sainstis bukan Islam dan selepas 700 tahun, Muslim sudah tidak terkejar dengan kemajuan cara berfikir mereka. Sensitif juga kalau dikatakan Muktazilah-lah yang mula mempelopori proses berfikir, (seperti kata Ustaz “Muktazilah yang meletakkan akal mengatasi naqal (nas periwayatan), telah diuruskan nasib mereka oleh sejarah.”) , tetapi selepas itu beberapa manhaj lain yang timbul dan cuba mengimbangi dalil aqli dan naqli, seperti yang dikemukan di dalam Ilmu Kalam, juga mendapat tentangan serupa, walaupun kurang hangatnya.

5. Apabila Imam Ghazali mendalami falsafah bagi membendung ketelanjuran penggunaan aqli ke atas naqli, beliau tidak mensarankan pembunuhan proses berfikir. Terlibatnya beliau dengan ilmu mantik, menandakan ilmu itu ada manfaatnya dalam mencari kesimbangan. Keseimbangan antara percaya dan fakir. Antara Agama dan Sains dan sebagainya. “Agama juga tidak tertegak dengan membunuh akal”. Salah tafsir kefahaman kepada apa yang dikemukan oleh Imam Ghazali telah menyebabkan Muslim selepas zamannya mengalami kemerosotan proses berfikir. Memang benar AQ mensarankan “Samikna waatokna – Dengar dan taat”, tetapi AQ juga berkali-kali mengajak kita menggunakan akal dalam menjalani kehidupan. Maka tidak timbul kesalahan meletakkan ditengah “dengar dan taat” itu proses fikir dan bukti.

6. Keimanan manusia diukur dari keberkesanan pengawalan nafsu. AQ sekurang-kurangnya mengkategorikan tiga tahap pengawalan nafsu yang semestinya menghasilkan tiga tahap keimanan. Maka iman itu mempunyai tahapnya tersendiri. Dari beriman sesara ikut (takliq) kita perlu meningkatkan kepada iman yang berilmu, dengan pengajian Tauhid Afal (lanjutan dari Tauhis Ubudiah, Uluhiah dan Asma wa Sifat). Hanya dengan menjadi Al Baab, tarbiah Allah di Alam ini dapat dimanfaatkan. Dan ilmu untuk memahami tarbiah Allah di Alam ini adalah ilmu sains. Maka perlunya mencari keserasian ilmu sains dan ilmu agama, adalah sesuatu yang sangat penting dan mengukur tahap keimanan.


S028 Dari Komen 347 (29 Sep 2007)

Ogos 15, 2008

Komen 347

1. Bagaimana hendak mengaitkan teori Darwin (atau semua teori sains) dengan iman?. Kita kena tanya betul-betul diri, apa yang difahamkan dari ayat yang telah digunakan banyak kali iaitu “Di dalam penciptaan … terdapat ayat-ayat (tanda keberadaan/kekuasaan Allah) bagi Al Baab”. Adakah ayat-ayat Allah hanya apa yang termaktub di dalam Al Quran sahaja, ataupun ayat asas di dalam Al Quran dan ayat penghurainya di kitab alam.? Kalau kita mengambil hanya satu sahaja (ayat yang di dalam Al Quran), maka disitu sahaja iman kita telah teruji.

2. Ini bermakna keseluruhan kejadian-kejadian yang berlaku di alam ini (dengan menggunakan qias dari ayat tadi dan banyak lagi ayat-ayat sains) adalah ayat-ayat yang membuktikan adanya Allah dan kalau dikaji secara mendalam akan menjurus kepada mengetahui carakerja Allah. Kenyataan sains yang asas, Allah paparkan dalam Al Quran, dengan detailnya, Allah tuliskan di alam ini. Sebab itu Bhg 2, mengajak kita memberikan keadilan kepada Al Quran, bukan dibaca/dihafal untuk pahala sahaja, tetapi yang lebih penting mendapatkan petunjukNya. Barulah jadi ‘rahmatan lil alamin’.

3. Apakah kita sebenarnya mengenal Allah dengan hanya menghafal AsmaNya atau SifatNya sahaja. Sudah pasti kita kena mengetahui secara mendalam AfalNya (carakerjaNya) bagi memantapkan lagi keilmuan kita tentang Allah. Memang Al Quran memberikan ganjaran besar kepada yang menghafalnya, tetapi ganjaran yang lebih besar bukan sahaja di perolehi di akhirat, malah di dunia, sekiranya kita faham bagaimana Sunattulah berfungsi.

4. Kalau kita hanya meraba-raba di dalam gelap (menyangka) bagaimana afalNya, kita sebenarnya sukar untuk mendapat keizinannya melakukan sesuatu di dunia ini. Tiada sains dan teknologi yang ditemui sekarang di dunia ini, yang tidak mendapat keizinan dariNya. Kebanyakan penemuan sains dikalukan oleh orang bukan Islam, kerana mereka tidak jemu dan gigih menggunakan minda dan akal yang diberikan Allah kepada mereka, sedangkan muslim tersilap tafsir kepentingan penggunaan akal.

5. Meletupnya sebiji bom adalah dengan izinNya, dan tanya betul-betul di dalam hati, apakah orang-orang Islam yang mendapat ilmu melaksanakannya. Ok lah kata bom itu, sains jahat. Tapi fikirkanlah di zaman Nabi saw dulu, muslim mempunyai design pedang yang tercangih (dibanding pedang yang ada waktu itu semuanya berat .. yang ringan lebih senang digunakan untuk membunuh musuh). Maka ia menjadi salah satu sebab, berkesannya kempen-kempen yang mereka jalankan ke seluruh ceruk rantau.

6. Maka kefahaman secara teliti kepada sains (termasuklah teori Darwin) membawa kita kepada penggunaan Qodo’ dan Qadar (QQ) yang terbaik untuk mendapatkan hasil terbaik dari Allah. Barulah kita dapat mengatasi musuh Allah. Bukan asyik menggunakan sahaja penemuan yang mereka buat. QQ perlu digunakan dengan proaktif (melibatkan ilmu membuat pilihan terbaik sebelum melaksanakan sesuatu) bukan reactif (hanya mengatakan ‘dah takdir’, selepas berlaku sesuatu).

7. Maka bagi menyempurnakan pembelajaran Tauhid Ubudiah, Uluhiah dan Asma Was Sifat, kita perlu mengkaji Tauhid Afal, yang merupakan penelitian kepada Sunnah Allah atau CarakerjanNya. Al Quran menyarankan kita sebagai Muslim menjadi Al Baab, iaitu dengan keluar dari Kitab Al Quran dan masuk ke Kitab Alam, bagi memerhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kewujudan Allah. Inilah yang menjadi wawasan utama blog ini. Untuk mengenali Allah dengan cara mengenali SunnahNya.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.