S56 Salam Illusi.

Januari 17, 2009

1. Alhamdullilah, bersyukur kepada Allah yang telah memberikan ilhamnya bagi melihat illusi yang mengaburi realiti. Subhanallah, masih ada Ustaz yang mahu mendefinasikan realiti yang disaluti illusi. Allahuakbar, menegang bulu roma membaca coretan Ustaz, yang memaparkan illusi yang berbulukan realiti. Innalillah, dari Engkau semua realiti dan kecelaruan mahluk bernama Muslim, terbitnya illusi. Laahawla, tiada berlaku illusi bercampur realiti, walaa quwwata, dan tiada kekuatan mencampur-adukkan realiti dan illusi, illa bil Lah, melainkan dengan kekuatanMu, Ya Allah. Agstarfirullah, tidak timbul kekaburan realiti dan illusi, melainkan kerana kekaburan mahlukMu mengenaliMu, Ya Allah…

2. Seperti biasa, teguran Ustaz yang sangat jauh menusuk kalbu dan minda. Satu penceritaan kehidupan realiti mahluk Muslim yang dibuai mimpi berrealiti, tetapi akhirnya diberitahu hanya berillusi. Dalam berrealiti Muslim sering berillusi, sehinggakan Tuhannya yang realiti menjadi illusi dan sesuatu yang illusi diambil sebagai realiti (beragama tanpa Tuhan). Bagaimanakah semua ini boleh terjadi? Boleh kita teruskan illusi kehidupan ini mengaburi realiti? Mahukah kita nanti, di Akhirat kelak, dituduh hidup bersekongkol dengan illusi? Atau sangkupkah kita mempertahankan illusi sebagai realiti, ketika di hadapkan ke mahkamah, di mana mulut dah tak boleh berpuisi, untuk menghiasi illusi dengan realiti?

3. Satu situasi yang amat menakutkan. Satu realiti yang amat menyeramkan. Satu illusi yang maha membinasakan. Teguran Ustaz yang sememangnya berketepatan. Syabas Ustaz! …. Malangnya, apakah kita membaca dalam keadaan bersama realiti? Apakah kita peka pada illusi yang Ustaz maksudkan? Bagaimana berjuta ayat telah Ustaz coretkan, berhubung realiti dan illusi, begitulah berjuta sebab menjadikan Muslim terus berillusi, tanpa mahu memahami realiti. Berbotol air Ustaz teguk, menghilangkan kehausan, menyampaikan ceramah tentang illusi, berbotol darah Muslim terus mengalir di dalam tubuhnya, menerusan hidup berillusi. Malang berjuta kali malang, illusi terus mengatasi realiti.

4. Selagi Sunnahtullah dan Syariatullah tidak diperhalusi, selagi itulah realiti dikaburi illusi. Selagi Muslim hanya memberatkan bersyariat, selagi itu mereka akan dihantui illusi. Sehinggalah Muslim mengimbangi keperluan bersunnah dan bersyariah, barulah mungkin realiti mengatasi illusi. Muslim telah terlalu lama bermimpi untuk berjaya dengan hanya bersyariat. Muslim telah lama memperjuangkan semangat Islam tanpa bersunnah (Allah). Ini yang melemahkan Muslm sebenarnya. Disogok dengan illusi bahawa bersyariah itu adalah segala-galanya dan mengenepikan pentingnya realiti bersunnah (Allah).

5. Sunattullah berjanji tidak akan merosakkan kereta kebal dengan membaling batu. Sunnatullah berjanji akan mengambalikan Muslim kepada realiti, sekiranya Muslim sanggup melupakan illusi. Lupakanlah bermimpi menjadi Nabi yang melembutkan besi dengan tangannya. Ketepikanlah impian, menjadi Nabi yang dibantu oleh malaikah semasa perang. Jauhkan khayalan menjadi nabi yang memindahkan istana dengan sekelip mata. Walaupun itu semuanya realiti, ia tidak boleh dicapai dengan Muslim yang berillusi. Mukjizat itu semuanya untuk Nabi-nabi yang berrealiti.

6. Ayuh semua mari kita mencari realiti. Katakanlah bahawa hanya kewujudan Yang Asa itu sahaja realiti. Kewujudan mahluk adalah satu illusi, ibarat kain yang wujud berillusi menggantikan kapas yang realiti (dalam dunia kapas). Hanya dengan memahami sedemikian, kehidupan illusi kita bertukar menjadi realiti. Realiti yang akan dapat memadamkan semua illusi, yang berleluasa mengaburi realiti. Hanya dengan kekuatan sebenar Yang Realiti, yang dapat menghancurkan semua illusi, tanpa sedikitpun kekaburan yang akan tinggal dalam berillusi. Semuga akhirnya kita berjaya bangkit kelak di Akhirat dalam realiti.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.