S68 SSAS Benih.

Januari 29, 2009

Mereka Mahu Kita Mencampakkan Benih di Awang-awangan

1. Benih Islam telah tersemai di Alam sejak Azali (Big Bang). Benih Islam adalah benih terbaik yang sedia digunakan dalam semua ruang dan masa. Dengan menyemai benih ini kepada ruang yang yang kita berada, benih Islam akan bercambah menjadi cara menyelesaikan semua permasaalahan yang timbul. Segala nilai yang baik adalah berlandaskan kepada Islam. Pencemarannya menjadi kepada tidak baik, berlaku sepanjang masa, sehinggakan Muslim sekarang tidak tahu membezakan hasil yang baik dari yang tidak baik. Kabur pandangan Muslin jadinya kerana, penyempitan penafsiran mereka tentang Islam dan dari mana datang Islam itu. Kucar kacir pentakwilan mereka kerana terhalang dan gagal merumus bahawa kejayaan yang dicapai oleh Bukan-Muslim adalah dengan menggunakan benih Islam yang disediakan Allah di Alam ini.

2. Dari sebelum N Adam dilahirkan, Islam telah bertapak di atas Bumi. Segala-gala yang ada di Bumi, sebelum itu sentiasa mengikut program Allah, kerana dengan akal yang terbatas, mahluk ketika itu tidak punya banyak pilihan. Hanya apabila manusia diberikan akal secukupnya, mereka mempunyai banyak pilihan dan seterusnya mula berstrategi (makar), cuba memperbaiki cara yang telah diberikan atas keperluan mengikut nafsu sendiri. Sedikit demi sedikit mereka, secara tidak sedar membawa Islam keluar dari landasan sebenarnya. Ketika itu Allah turunkan Nabi seterusnya, bagi memperbetul keadaan dan meletakkan Muslim di atas landasan yang betul. Malangnya setelah Nabi yang diutus pergi, generasi baru mula berstrategi kembali dan secara tidak sedar mengikut perangai leluhur meraka dalam menyebabkan Muslim terkeluar dari landasan lagi dan lagi.

3. Setiap kali berubah kaum atau masyarakat, maka Allah utuskan Nabi untuk meletakkan Muslim ke landasan Islam sebenar. Sejarah menunjukkan terdapat tidak kurang dari 124,000 Nabi-nabi yang telah diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja pembetulan ini, dengan 25 yang sebut di dalam AQ. Setiap kali Muslim terkeluar dari landasan Islam, maka Nabi akan diutus untuk memperbetulkan keadaan dengan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi penutup akhir zaman. Segala penyelewengan yang berlaku sebenarnya adalah berbenihkan kepada Islam yang asal. Naluri nafsu manusia yang menyebabkan berlakunya penyelewengan itu. Maka sebenarnya adalah tidak berasas kalau dikatakan bahawa manusia tidak mengambil benih Islam itu sebagai panduan asal. Yang menjadi kesalahan adalah lencungan yang dibuat kerana kegirahan manusia mengikut nafsu.

4. Dengan lencungan dari benih asal nilai-nilai Islam, tamadun berkembang. Tidak dinafikan manusia berjaya menggunakan Islam yang diubahsuai untuk kehidupan mereka. Persoalannya ialah sejauh mana ubahsuai itu boleh dilakukan dan dapat menyokong kehidupan mereka. Tidak jauh. Jangan kita persoalkan asalnya adalah dari Islam, tetapi persoalkan sejauh mana ia perlu dikembalikan kepada landasan asal. Dengan mengatakan bahawa Bukan-Islam mencipta sistem kehidupan sendiri, adalah kurang tepat. Mereka tidak sebijak yang kita sangka. Mereka hanya bijak mengubahsuai Islam dari landasan asal, kepada sistem yang mengikut nafsu mereka. Segala-galanya adalah dari Islam. Benih awal ditarbiahkan Allah melalui Kitab AlamNya dan juga penerangan dari Kitab-kitab yang telah diturunkan zaman berzaman.

5. Kegemilangan Muslim selepas diperbetulkan oleh Nabi Besar Junjungan saw, adalah kerana kejayaan menggunakan nilai-nilai baik, dari yang telah bercampur-aduk di zaman itu. Dengan penurunan AQ, Muslim kembali ke landasan sebenar. Bukan Islam itu sesuatu yang baru dibawa oleh Nabi Muhammad saw, tetapi Islam itu diperbetul penafsirannya olehnya. Islam telah lama bertapak di Bumi, hanya pentakwilannya yang berubah, menyebabkan bercambahnya agama-agama lain, yang sebenarnya banyak mengambil nilai-nilai Islam sebagai asas. Kita perlu buka minda melihat keadaan ini. Jangan disebabkan mereka telah salah melencungkan Islam dari landaasan kita terus mengatakan tidak dapat menerima semua yang mereka lakukan. Nilai-nilai Islam yang banyak mereka gunakan untuk mencapai kejayaan, kerana nilai lain, selain daripada Islam tidak akan memberikan kejayaan.

6. Berlapanglah dada atau lebih tepat bukalah minda kita untuk memahami keadaan sebenar. Bukan-Islam telah berjaya mengubah-suai Islam untuk kegunaan mereka di atas Dunia ini. Kita sebagai Muslim sepatutnya mengunakan sepenuhnya nilai-nilai Islam, bukan sahaja untuk mencapai kejayaan di Dunia, sebagaimana Bukan- Islam telah mengubah-suai dan berjaya, tetapi meneliti kembali apa yang perlu dikembalikan kepada landasan sebenar, agar dapat menggunkannya di Dunia dan Akhirat. Bukan dengan membenci apa yang mereka telah lakukan. Sikap kebencian itu tidak akan mendatangkan hasil kepada Muslim. Bukan Islam sudah membena kekuatan menggunakan Sunnah Allah. Muslim iri-hati dengan kejayaan tersebut lantas bermusuhan dengan mereka, sedangkan apa yang mereka gunakan itu adalah asalnya nilai Islam. Mereka bukan untuk dimusuhi tetapi perlu diajak bersama-sama kembali ke landasan yang sebenarnya.


S67 Salam Cinta.

Januari 29, 2009

7 Pak Din January 26th, 2009 at 10:58 am

Salam cinta,

1. Sekalung tahniah buat Ustaz HAJ, atas kejayaan program tentang cinta. Walaupun sebagaimana kata Ustaz, ia bukanlah tentang cinta semata-mata, sebagai melayan perasaan hati, tetapi ialah adalah tentang cinta, sebagai melayan kehendak akal, mengikut konsep Rukun Ikhsan. Empat subcategori, hablum min Allah, hablum min An-Naas, hablum min Al-Mahluk (selain An-Naas) dan hablum min An-Naf (kerana kita roh). Keempatnya melibatkan hubungan dan cinta menjadi pengukur keterlibatan hubungan itu. Isu yang menjadi keperluan ialah menganalisa dengan alat apa hubungan itu, hati (perasaan) atau akal.

2. “Cinta hanya simptom. Dasarnnya adalah kepercayaan, pandangan tentang kehidupan dan sistem nilai.” Sangat tepat dan padat. Disebabkan manusia berkembang dari keperluan jasmani (yang membekalkan nafsu dan perasaan), pada peringkat awal kehidupannya, maka tidaklah hairan sekiranya simptom pertama yang kelihatan adalah cinta remaja. Timbullah simptom cinta monyet (monyet juga yang kena, macam teori evolusi!) Kemudian, kalau remaja itu layak memasuki IPT, naiklah taraf cinta itu kepada cinta kampus, atau cinta monyet kampus (janggal bunyinya). Apapun itulah simton pertama, bagi yang dilanda, yang tidak terlanda ada juga.

3. Balig syarie hanya melayakan seseorang mengenal panas dan api, serta yang setara dengannya. Panas dan api, dalam satu bentuk (haba) yang tersendiri, melalui salah satu pembawanya bergelar syaitan, menyusup ke dalam sistem tubuh manusia, melalui pengaliran darah. Sebenarnya inilah hawa’ (Melayu terdekatnya nafsu), yang kehadirannya kalau tidak disedari dan dikawal oleh akal, akan menyebabkan bahaya. Kalau tiada kehadirnya pula, kita tidak dapat menjalani kehidupan sebagai manusia. Di peringkat awal manusia, bayi dan kanak-kanak, perkembangan jasmani adalah segalanya, bagi memungkinkan perkembangan seterusnya, iaitu kematangan akal.

4. Kematangan akal yang selari dengan perkembangan rohani, tidak semudah perkembangan jasmani. Ibubapa, tahu DHA, RA, entah bermacam lagi, formula-formula terbaik (sebagaimana terpampang di mass media) untuk perkembangan jasmani anaknya, tetapi terkurang sedikit yang pakar dalam memilih formula terbaik untuk perkembangan rohani, (yang membuatkan Ustaz merasakan keperluan adanya STC.) Maka kegirahan ibubapa melihat perkembangan jasmani, dewasa ini tidak disusuli dengan kegirahan yang sama menyediakan perkembangan rohani. Sistem pendidikan juga tidak membantu sepenuhnya dalam pekara ini. Maka keluarlah simptom cinta pertama.

5. Simptom cinta seterusnya tidak menarik, secantik simptom pertama, untuk dibincangkan bagi kebanyakan arus perdana. Paling tidak dari segi kesedaran tentangnya, bukan pada keperluannya. Keperluan dan keutmaannya jangan dipertiakai. Phasa kehadirannya sangat bergantung kepada pendedahan semasa perkembangan rohaninya. Terlalu banyak manhaj dan pendekatan, tidak mengambil-kira lagi banyaknya ideologi dan ism tentangnya, menjadikan kepelbagaian cara dan hasilnya. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa mencari balig hakiki, sebagai pengukur tahap kemantapan rohani, terkadang diperolehi selepas terpisahnya roh dan jasad!

6. Beberapa isu utama yang menarik diutarakan oleh Ustaz di dalam artikel ini, semuanya dalam bentuk yang padat dan tepat. Antaranya yang sempat di sentuh ialah “untuk ‘membersihkan’ kediaman yang lama terbiar”, “umpan untuk mencangkuk semua”, “Betulkan cara melihat untuk membetulkan hasil dapat”, “menaruh harapan kepada forum”, “segalanya di alam ini bersifat relatif”, dengan penutup bicara, “Beruntunglah manusia yang asing”. Semuanya dalam bentuk tepat dan padat, yang huraianya mungkin memenuhi beberapa cereka padat. Kalaulah simptom cinta pertama, dapat disingkat, dan seterusnya cepat ke simptom seterusnya, sudah pasti, isu-isu yang padat dan tepat itu dapat dicerap, pada kadar yang cepat.

[Reply]

Abu Saif reply on January 27th, 2009 9:35 am:

@Pak Din,

Ada masanya, penulisan adalah ringkasan pemikiran. banyak benda yang bersarang di kepala, tetapi dipindahkan ke tulisan hanya dalam bentuk rumusan dan kata-kata kunci sahaja.

mungkin gelombang otak kita compatible, maka saya rasa pada banyak bilah perkataan yang saya coretkan di sini, pak din boleh garapkan sarang-sarang idea di belakangnya.

moga pembaca juga membaca dengan speed yang sama penulis menulis.

terima kasih atas komen-komen yang penuh pengkayaan


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.