1. Setinggi-tinggi penghormatan dan penghargan diucapkan kepada Ustaz HAJ dan SIOnya yang mempopularkan konsep ‘syariatik yang saintifik’ melalui, teutamanya AGENDA08. Tidak dinafikan kejayaan memasarkannya kepada masyarakat biasa (surau dan masjid) dan juga intelek (IPT, korprat), adalah antara usaha tertinggi dalam menterjemah ‘Erti hidup pada memberi’. “Rombakan pemikiran amat diperlukan kerana di situ terbenamnya kunci kekalutan tingkah laku Muslim dalam menggarap peranan duniawi dan ukhrawi mereka.” Saya selalu mengingati diri tentang Ayat (al-Ra’d 13: 11) dengan melihat kepada hasil carakerja yang telah kita lakukan. Berligar-ligar dalam membincangkan cara sahaja, menyebabkan kita tersangkut ditahap itu, dan akhirnya saya terpaksa mengaitkan Ayat tersebut kepada peringatan “Bermulanya Agama itu adalah mengenal Allah”
2. Hubungan Khaliq-mahluk diakui sangat penting. Hubungan mudah untuk diterima, adalah dengan percaya (atau syariatik). Malangnya hubungan ini tidak menghasilkan Muslim yang menghidupkan Islam. Hubungan yang berdasarkan percaya juga susah untuk berkembang ke arah kesempurnaan. Tidak dinafikan ia boleh berkembang ke arah kepelbagaian, bergantung kepada apa yang dipercayai. Memperbaiki hubungan mudah ini, bukan bermakna akan menjadikan ia sesuatu yang susah, tetapi Allah memperuntukkan kunci-kunci pekara ghaib (baca apa yang kita tak tahu), hanya kepada mereka yang berusaha mencarinya. Maka hubungan sebenar Khaliq-mahluk memerlukan percaya dan fikir (syariatik yang saintifik). Dibuang atau dikurangkan dose pemikiran itu, akan menjejaskan hubungan Haliq-mahluk. Kita perlu mengiktiraf bahawa pada tahap kemasukan (entry level), berikan dose rendah, tetapi dengan azam meningkatkan dose tersebut secara terus menerus.
3. Diharapkan usaha di tahap kemasukan atau tangga bawah ini, tidak terlalu mengasyikkan, menyebabkan mereka tidak memanjat ke tangga yang lebih tinggi. Keindahan Kitab Al Quran, yang mengandungi Syariat Allah, dalam bentuk asasnya, menjadikan ia sebagai pintu untuk kita keluar kepada Kitab Alam, bagi mencari perincian mendapatkan kunci-kunci ghaib. Terlalu banyak yang perlu dipelajari di Kitab Alam, secara saintifiknya, tidak mengizinkan kita terlalu asyik dengan kesenian Pintu tersebut. Dan dose pemikiran yang perlu ditingkatkan selalunya membuatkan Muslim menjadi lebih selesa dipenafsiran yang lebih mudah kepada sesuatu ayat, atau tanda yang diberikan di dalam Al Quran. Ini yang melemahkan Muslim sebenarnya. Diwar-warkan bahawa ilmu yang tinggi tidak bermakna tanpa amal, adalah kurang tepat, tanpa mahu memahami kepentingan bahawa bermulanya kiraan amal itu adalah dengan berilmu.
4. Penterjemahan syariatik yang tidak saintifik, tidak selari dengan Sunnah Allah. Ia hanya akan mencambah banyak kepelbagaian ragam cara manusia melakukan sesuatu. Hanya Sunnah Allah yang tidak pernah dan tidak akan berubah, sementara carakerja mahluk sentiasa condong kepada kepelbagaian, yang tidak mengarah kepada kesempurnaan. Kesempurnaan Khaliq adalah kerana di dalam carakerjaNya, ia mengarah kepada kesatuan. Kesemua hukum-hukum Alam yang ditemui saintis (malangnya kebanyakannya saintis bukan Islam) akhirnya sesuai untuk dimasukkan dalam satu rumusan. Hasilnya sekarang saintis bukan-Islam mencari Teori of Everything, iaitu satu teori yang dapat menjelaskan semua kejadian di Alam ini. Carakerja mahluk bergerak ke arah kepelbagaian. Bukan isu kepelbagaian dahan dan ranting yang dimaksudkan tetapi di tahap batang dan akar juga terlalu banyak kepelbagaian.
5. Penerapan syariatik yang saintifik mengajak kita membudayakan carkerja Allah dalam mengarah kepada kesatuan dan kemudiannya kepada kesempurnaan. Pentingnya bersyariat tidak pernah dinafikan, tetapi keutamaan bersaintifik jauh lebih penting dalam memastikan hasil dari carkerja Muslim. Selagi penerapan sepenuhnya tidak dapat diserasikan, selagi itu Muslim tidak berada di landasan kemajuan. Agamawan yang tidak terdedah kepada element saintifik, terlalu ramai yang mengenepikan kepentingan saintifik. Silibus sains di dalam sistem pendidikan, sebenarnya lebih banyak mengajar ke arah ketuhanan, tanpa disedari, dari pendekatan pendidikan yang berasaskan silibus agamawan. Bezanya ialah penerapan keutamaan, kepada kepercayaan dan bukan pemikiran yang menghasilkan pembuktian. Kedua-duanya perlu pemisahan doktrinnya tetapi pada masa yang sama perlu penserasian dalam kehadirannya.
6. Saya kagum dengan kebolehan Ustaz dalam meneruskan pembacaan dan kemudian membuat penelitian. Saya bersetuju dengan cara bekerja sendiri memberikan lebih ruang dan peluang untuk berfikir tentang Alam dan ketuhanan. Sebagai seorang yang bukan agamawan, tetapi mahu mencari ketuhanan, saya banyak mencari kekuatan dari Uataz, terutama dalam menterjemah pembacaan Kitab Alam melalui pemikiran dan penulisan yang dibuat oleh orang bukan Islam. Mereka ini sangat saintifik, itu dah pasti. Kejayaan mereka terserlah di Dunia. Kita hanya perlu menjadi syariatik, untuk mencari kesimbungan kejayaan di Akhirat. Malangnya terlalu ramai Muslim yang syariatik tetapi tidak saintifik, dan mereka tidak sedar bahawa bermulanya kiraan menjadi syariatik adalah dengan jalan bersaintifik. Sebagaimana bermulanya kiraan amal adalah apabila kita berilmu, dan juga bermula beragama ialah apabila kita mengenaliNya.
Dikirim oleh Pak Din 31