Sharudin
20/10/2007 | 1:11 am
Salam kefahaman
1. Terlalu banyak yang perlu saya proses dari penulisan Ustaz, saya kira terpaksalah saya ambil secara rawak artikel yang hendak difahami tersebut. Saya cuba menanfaatkan ketahap maksimum apa yang Ustaz telah kaji dan kemudian tuangkan kesimpulannya di dalam penulisan. Tidak dinafikan saya memang tidak salah memilih blog Ustaz untuk berinteraksi. Keterbukaan, ketajaman dan kepekaan pemikiran Ustaz, dalam menghubungkait isu-isu global menjadi lokal, isu agama lain menjadi landasan kepada Islam, isu musuh menjadi isu utama untuk difikirkan dan pelbagai lagi melambangkan jangkauan mindah Ustaz sangat luas dan tiada batasannya.
2. Bukan ramai yang mahu mendengar sejarah Europe dari orang Europe, sepertimana kononnya mendengar penjelasan dari musuh menjadikan kita sebahagian dari mereka. Tetapi ini semua memang telah diduga, bagi mereka yang suka menyempitkan pemikiran, menutup telinga dan mata dari cacian musuh (yang bukan cacian pun kadang-kadang disapurata sebagai sama). Penyempit fikiran ini terhibur dan tenang dengan pujian dari teman, dan merasakan hidup ini bagaikan dibentuk hanya untuk mereka, oleh Tuhan, tanpa mahu mengetahui warna-warna pelangi sebenar yang ada.
3. Kadang-kadang difikirkan mendalam, tak apa juga tak mahu mendengar sejarah orang kafir, malangnya kata-kata Muslim yang lain dari mazhabnya pun mereka tidak mahu mendengarnya. Itu yang saya pernah kategorikan mereka yang anti-pluralisma juga sebenarnya anti-mazhab. Lebih teruk dari itu, mereka ini tidak juga mahu mendengar ayat-ayat Al Quran yang datangnya dari orang yang mereka tidak suka bacaannya (tafsirannya). Pada mereka hanya satu yang ingin didengarnya, pandangan mereka sendiri. Pandangan orang lain semuanya ditolak ke tepi dan tiada harga buat mereka.
4. Sebenarnya, betul juga kalau pendirian tersebut dibuat setelah mereka memastikan keperluan hidup mereka di atas dunia ini, sudah serba mencukupi. Kalau segala-gala dari yang kecil kepada yang besar, yang asas kepada yang cabang semuanya cukup lengkap di dalam sistem mereka, bolehlah juga diterima cara demikian. Hakikatnya segalanya bergantung pada orang yang kategorikan sebagai musuh. Yang tadi pandangannya tidak mahu didengar. Tidakkah mereka merasa malu?
5. Sekiranya kita mendengar cacian musuh lantas kita terus menjadi marah, itu adalah tanda kepekaan yang tersalah guna. Kepekaan kita sepatutnya pada pemikiran dan bukan emosi. Kalau kita merasa rendah diri dan tak bersemangat selepas mendengar cacian (bukan semua cacian pun, selalunya) musuh, itu bermakna kita tidak berhikmah pada diri sendiri. Yang tidak tahu tapi sombong tak mahu mendengar, adalah jauh lebih teruk dari yang memberitahu dengan sombong.
6. Sejarah orang Barat adalah sejarah orang-orang yang faham Sunahtullah. Ya memang mereka ada yang tidak nampak Tuhan dihujungnya, tetapi kepercayaan mereka kuat kepada alam semulajadi (nature). Itu adalah segala-galanya. Mereka percaya yang segala kekuasaan ada pada nature atau Tuhan yang mereka sangka, bukan pada Allah. Sebenarnya ramai juga Muslin yang membaca Al Quran dan Hadis, tetapi masih termasuk di dalam kategori tidak mengenal Allah. Buktinya sekiranya semua Muslim bertuhankan Allah yang Esa, sudah pasti mereka tidak tergamak membunuh sesama sendiri. Malah peperangan saudara Muslim lebih teruk dari perang saudara orang yang mereka anggap Kafir.
7. Penilitian kepada Sunahtullah akan membawa kepada kesimpulan bahawa alam ini dijadikan dalam dua pasangan asas iaitu kebaikan dan kejahatan. Malah kita perlu mendalami sehingga dapat memahami bahawa Allah hanya perlu menciptakan kebaikan, kejahatan itu datanganya dari penciptaan kebaikan yang hilang dan tidak dapat dikekalkan oleh mahluk, maka timbullah kejahatan. Segala kemungkinan dan sumber asas kekuatan yang membentuk kebaikan dan kejahatan adalah tidak bersumberkan yang lain, melainkan Allah. Tiada yang terlepas dari keizinannya.
8. Sejarah orang Barat yang sebahagian besar mulanya berasaskan kepercayaan dan ketuhanan, akhirnya semakin berkurangan pengaruhnya di zaman pencerahan. Keterbukaan pemikiran orang-orang Barat memberi laluan kepada perkembangan pemahaman yang lebih mendalam tentang Sunahtullah (ilmu sains). Ilmu sains tidak dapat dicampur-adukkan dengan kepercayaan yang tidak berasas (tidak boleh diulangi ujikajinya). Ilmu sains memerlukan laluan dan pendekatan tersendiri dan selepas hasilnya diperolehi, barulah boleh diserasikan dengan kepercayaan, bagi menampung pekara-pekara yang masih tidak dapat dijawab walaupun telah difikirkan. Pekara-pekara meta sains.
9. Pengunaan hasil sains dari penelitian nature tetapi bertentangan dengan nilai kehidupan yang diterima pakai (contoh penggunaan survival of the fittest dalam peperangan), saya lihat digunakan oleh Barat untuk mencabar mereka yang tidak faham dan tidak mahu memahai nature (Sunahtullah). Mereka mahu melihat sejauh mana ketahanan jasmani dan rohani melalui kepercayaan semata-mata. Sebenarnya Allah sendiri tidak menilai kepercayaan semata-mata yang tidak disulami dengan keilmuan mengenali (maarifat) terhadapNya.
10. Saya mungkin mengulangi asas-asas perbahasan yang sama dalam menghurai permasaalahan berbeza. Saya sebenarnya mahu diri ini betul-betul faham dan dapat difahami dalam merakam apa yang tersirat di fikiran. Setiap kali pengulangan dibuat saya cuba mengubah perkataan dari sudut berbeza. Semuga dengan percubaan ini, satu daripada perakaman dari sudut yang berbeza, akan menghasilkan titik tolak untuk kita sama-sama berfikir, semasa berkembara mencari Tuhan. Bukan tak jelas apa yang dicari, hanya belum berjumpa. Yang ada dirasai ialah kesan carakerjaNya.
Terima kasih
Dikirim oleh Pak Din 31