Syariat asas utama dekatkan diri kepada Pencipta
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
SETIAP Muslim berusaha mendekatkan diri kepada Allah dalam setiap aspek kehidupannya.
Oleh itu, syariat adalah jalan pertama yang harus ditempuhi. Hal ini kerana syariat adalah asas utama tegaknya agama Islam.
Bila asas sudah kuat, barulah kemudiannya didirikan bangunan di atasnya seperti mana tiang untuk memperkukuh sebuah bangunan.
Dalam kata lain, apa yang dilakukan seseorang Muslim yang belajar ilmu tasauf hendaklah bersandar pada ajaran al-Quran dan hadis kerana tarekat adalah jalan dalam melaksanakan suatu ibadat sebagaimana yang dicontohi sahabat, tabi’in hingga bersambung kepada guru tarekat.
Justeru, Syeikh Zainuddin al-Malibari menjelaskan tarekat adalah untuk melaksanakan amalan lebih baik, berhati-hati dan tidak memilih kelonggaran syarak serta menghiasi diri dengan sifat warak, istiqamah dan sifat mahmudah yang lain.
Ringkasnya, syariat adalah peraturan, tarekat adalah pelaksanaannya, sedangkan hakikatnya keadaan dan makrifat pula adalah tujuan akhir. Sesuai dengan kudratnya, manusia sentiasa berhasrat untuk mendekatkan diri dengan Allah. Pada masa sama, Allah menunjukkan jalan itu kepada umat manusia.
Dalam surah al-Baqarah ayat 186 Allah berfirman, “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): Sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.”
Dalam ayat lain, Allah berfirman, “Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana saja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. (Al-Baqarah: 115).
Jelas pengertian ayat di atas, Allah menunjukkan jalan kepada manusia untuk mendekati-Nya. Di antaranya, dengan mendirikan solat sebagai lambang pengabdian, mengerjakan puasa sebagai bentuk penyucian diri dan pengawalan hawa nafsu, mengeluarkan zakat sebagai isyarat keprihatinan kepada sesama manusia dan melaksanakan haji sebagai bekal perjalanan mencari keredaan-Nya.
Perlu diinsafi bahawa jalan menuju Allah dalam ilmu tasauf disebut dengan tarekat. Pengikut tarekat ini biasanya dibimbing oleh seorang guru pembimbing yang dikenali sebagai mursyid.
Bimbingan dilakukan secara rutin dan bertahap melalui maqamat (cara dalam menempuh jalan kesufian) dan ahwal (keadaan mental) hingga akhirnya dekat dengan Allah SWT.
Dalam ilmu tasauf, untuk mencapai darjat kewalian (kekasih Allah), sebagaimana dijelaskan Syekh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari, dalam kitabnya Kifayat al-Atqiya harus melalui empat tahap iaitu syariat, tarekat, hakikat, dan makrifat.
Syariat adalah unsur pokok untuk menuju tingkat selanjutnya. Syariat ini meliputi rukun utama dalam ajaran Islam iaitu solat, zakat, puasa, dan haji serta ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali oleh pengamal tasauf.
Dalam pandangan Imam al-Ghazali, tarekat tanpa syariat, maka tasauf menjadi batal. Sesungguhnya hakikat tanpa syariat adalah batal dan syariat tanpa hakikat maka ia tidak bererti.
Imam al-Ghazali pernah menegaskan orang yang mengatakan bahawa hakikat berlawanan dengan syariat dan batin bertentangan dengan lahir bererti dia lebih dekat pada kekufuran.
Ini bermaksud orang yang mengikuti tarekat tanpa memahami syariat, maka jalannya belum lagi benar.
Oleh kerana itu, dia harus memahami secara mendalam syariat dan hubungan antara syariat, tarekat dan hakikat adalah saling berkaitan antara satu sama lain.
Seterusnya, apabila ada seorang mursyid yang mengajarkan kepada muridnya bahawa dia tidak perlu lagi mengerjakan solat, haji, puasa, dan zakat, maka, hal itu bertentangan dengan syariat. Inilah antara ciri yang paling banyak terdapat dalam ajaran sesat.
Dalam agama Kristian, wujud aliran tasauf yang khusus bagi para pendeta. Di Yunani muncul aliran Ruwaqiyyin. Di Parsi ada aliran bernama Mani’ dan di negara lainnya banyak aliran melampau di bidang rohaniah. Kemudian Islam datang dengan membawa keseimbangan yang paling baik di antara kehidupan rohaniah dan jasmaniah serta penggunaan akal.
Sehubungan itu, insan seperti digambarkan Islam, terdiri daripada tiga unsur iaitu roh, akal dan jasad. Masing-masing tiga unsur itu diberi hak sesuai dengan keperluan masing-masing.
Pernah satu ketika Nabi SAW melihat salah seorang sahabatnya berlebih-lebihan dalam melaksanakan amal ibadat, lalu sahabat itu segera ditegur oleh baginda.
Sebagaimana kisah yang terjadi pada Abdullah bin Amr bin As yang berpuasa terus menerus dan tidak pernah berbuka, beribadat qiyamullail sepanjang malam, tidak pernah tidur, meninggalkan isteri dan kewajipannya.
Lantas Nabi SAW menegurnya dengan sabdanya yang bermaksud, “Wahai Abdullah, sesungguhnya bagi dirimu ada hak (untuk tidur), bagi isteri dan keluargamu ada hak (untuk pergaulan dan layanan yang baik), dan bagi jasadmu pun ada hak (untuk makanan). Maka, masing-masing ada haknya yang wajib ditunaikan dalam hidupmu. (Hadis Bukhari)
Dikirim oleh Pak Din 31